INSP sasar RM2.5 bilion potensi jualan di MITEC
2025-09-18 HaiPress
Pengerusi MATRADE,Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap kepada pemberita dalam sidang media Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) 2025 / Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,17 September- Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) 2025 menyasarkan potensi jualan berjumlah RM2.5 bilion menerusi lebih 4,000 sesi padanan perniagaan secara bersemuka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata,program berkenaan menghubungkan 300 pembeli antarabangsa dari 50 negara dengan 600 pengeksport tempatan.
Ia diadakan bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025.
“MATRADE memastikan hanya syarikat yang benar-benar bersedia mengeksport menyertai program ini,bagi menjamin setiap padanan perniagaan mampu menghasilkan peluang perdagangan berkualiti dan berpotensi tinggi untuk dimeterai,” katanya.
Beliau menambah,penyertaan kali ini lebih meluas dengan kehadiran pembeli dari pasaran baharu seperti Algeria,Congo,Costa Rica,Ghana,Mali,Norway dan Panama.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE,Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz pula menegaskan,mesyuarat perniagaan yang diadakan berperanan membina perkongsian perdagangan jangka panjang dan mampan,bukan sekadar transaksi sekali sahaja.
Program ini turut menyaksikan pelancaran platform Perdagangan Digital MADANI (MDT) buat julung kali,berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ia bagi menghubungkan perniagaan,mengoptimumkan padanan perdagangan serta memperluas peluang dagangan halal di peringkat global.
Langkah itu selaras dengan usaha pendigitalan negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp).
Selain,menyokong komitmen MATRADE memperkasa perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PMKS) dengan alatan digital canggih bagi menembusi pasaran antarabangsa.