RM74.67 juta bina Kompleks Pentadbiran dan Komersial MAIPk
2025-09-18 HaiPress
Tan Sri Mohd Annuar Zaini berucap pada majlis pelancaran KPPK MAIPk di Ipoh.
IPOH,18 September - Sebanyak RM74.67 juta diperuntukkan untuk membangunkan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang dijangka siap pada April 2028.
Kompleks enam tingkat itu bakal dilengkapi dua aras bawah tanah dengan 314 petak parkir kereta dan 70 petak motosikal. Ia juga menempatkan ruang pejabat,kawasan komersial serta satu aras khas bagi Galeri Warisan.
Yang Dipertua MAIPk,Tan Sri Mohd Annuar Zaini,menjelaskan bahawa pembangunan tersebut bukan sahaja bertujuan menyediakan pusat pentadbiran moden,malah diharap menjadi mercu tanda baharu yang mencerminkan identiti masyarakat Melayu Perak.
“Komitmen ini membuktikan kesungguhan MAIPk untuk memelihara warisan seni bina Melayu sambil memenuhi tuntutan pentadbiran semasa,” katanya.
Majlis Doa Selamat dan Mula Kerja pembinaan hari ini disempurnakan oleh Mufti Perak,Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.