Maybank turunkan kadar asas, kadar pinjaman asas bermula 11 Julai
2025-07-10 HaiPress
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,10 Julai – Malayan Banking Berhad (Maybank) akan menurunkan Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas sebanyak 25 mata asas,selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia.
Dalam satu kenyataan,Maybank berkata berkuat kuasa 11 Julai 2025,Kadar Asas Maybank akan diturunkan daripada 3.00 peratus setahun kepada 2.75 peratus setahun,manakala Kadar Pinjaman Asas pula disemak turun daripada 6.65 peratus setahun kepada 6.40 peratus setahun.
"Maybank Islamic juga akan melaksanakan penurunan kadar yang sama,dengan Kadar Pembiayaan Asas Islamik akan dikurangkan daripada 6.65 peratus setahun kepada 6.40 peratus setahun," menurut kenyataan tersebut,hari ini.
Seiring dengan semakan ini,kadar deposit tetap bagi Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas bermula pada tarikh yang sama.
Kali terakhir Maybank menyemak kadar asasnya adalah pada 8 Mei 2023,apabila ia dinaikkan daripada 2.75 peratus setahun kepada 3.00 peratus setahun.