Malaysia Airlines, Qantas meterai kerjasama perkongsian kod baharu
2025-09-18 HaiPress
Foto hiasan
SEPANG,17 September- Malaysia Airlines dan Qantas hari ini mengumumkan kerjasama perkongsian kod baharu bagi meningkatkan kesalinghubungan perjalanan antara Malaysia,Australia dan destinasi antarabangsa lain.
Menerusi kerjasama itu,Malaysia Airlines akan meletakkan kod “MH” pada 18 laluan domestik yang dikendalikan Qantas di Australia,termasuk ke Canberra,Darwin,Hobart dan Launceston.
Pada masa sama,Qantas akan meletakkan kod “QF” pada penerbangan Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama Australia,selain laluan ke Singapura serta destinasi popular Malaysia seperti Kota Kinabalu,Kuching,Langkawi dan Pulau Pinang.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group,Datuk Kapten Izham Ismail berkata,kerjasama itu adalah langkah penting memperkukuh kedudukan Malaysia Airlines di Australia.
“Australia telah lama menjadi pasaran teras dalam rangkaian kami. Pelaburan baharu termasuk penggunaan pesawat A330neo,peningkatan kekerapan penerbangan serta penyambungan semula laluan Brisbane.
Ia mencerminkan komitmen kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat sambil meningkatkan penawaran premium di pasaran ini,” katanya.
Sementara itu,Ketua Pegawai Eksekutif Qantas International,Cam Wallace berkata,kerjasama tersebut akan memudahkan perjalanan pelanggan Qantas ke Malaysia sambil menikmati ganjaran serta perkhidmatan premium.
Malaysia Airlines dan Qantas masing-masing merupakan anggota Oneworld,sekali gus memberikan pelanggan akses ke lebih 900 destinasi di seluruh dunia dengan pelbagai manfaat perjalanan.